LAUSANNE, 19 September- FIFA mengumumkan pembayaran $355 juta (300 juta euro) kepada kelab yang melepaskan pemain untuk Piala Dunia 2026.
Jumlah itu meningkat 70 peratus berbanding edisi 2022.
Perjanjian skim faedah baharu itu dicapai bersama Persatuan Kelab Eropah (ECA), termasuk buat kali pertama pemain terlibat dalam kelayakan tetapi tidak menyertai kejohanan akhir yang dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu.
"Untuk Piala Dunia 2022 yang disertai 32 pasukan di Qatar, FIFA mengagihkan $209 juta kepada 440 pasukan daripada 51 persatuan ahli FIFA", kata badan induk dunia bola sepak itu.
Presiden FIFA Gianni Infantino menyifatkan kelab memainkan peranan penting dalam kejayaan bola sepak pasukan kebangsaan.
"Skim Faedah Kelab FIFA untuk Piala Dunia FIFA 2026 ditingkatkan bagi mengiktiraf sumbangan besar kelab dan pemain di peringkat kelayakan dan kejohanan akhir," katanya.
Ketua ECA dan Presiden Paris Saint-Germain, Nasser al-Khelaifi pula menganggap inisiatif ini sebagai mengiktiraf setiap elemennya, dari pembangunan awal hingga pelepasan untuk perlawanan paling penting. -AFP
