fb fb fb fb fb

Skuad wanita B-17 Korea Utara pulang disambut meriah selepas raih trofi Piala Dunia

Foto REUTERS

PYONGYANG, 17 November – Skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun Korea Utara kembali ke tanah air dengan penuh kebanggaan selepas menjuarai Piala Dunia Wanita B-17 FIFA 2025 di Maghribi.

Menurut laporan media rasmi negara itu, para pemain disambut meriah oleh Menteri Sukan, Kim Il Guk, pegawai sukan serta ahli keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang.

Sambutan tersebut turut dirakamkan oleh agensi berita KCNA, meskipun rakaman itu tidak dapat disahkan secara bebas oleh Reuters.

Pemain sensasi Korea Utara, Yu Jong Hyang, yang menerima Anugerah Bola Emas berkata mereka hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil negara.

“Saya berazam untuk berlatih lebih gigih dan memainkan peranan yang lebih baik agar Piala Dunia kekal menjadi milik negara kita,” katanya.

Dalam perlawanan akhir pada 9 November, Korea Utara menewaskan Belanda 3-0 untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut, sekali gus meraih trofi keempat mereka dalam sejarah kejohanan, menurut FIFA. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN