KUALA LUMPUR, 17 November – Badminton Asia (BA) menjalin kerjasama strategik dengan Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas promosi sukan badminton, khususnya di negara-negara yang masih kurang pendedahan terhadap sukan tersebut.
Setiausaha Agung BA, Datuk Kenny Goh Chee Keong berkata kerjasama tersebut diyakini dapat membantu memperkukuh usaha mempromosikan badminton di rantau Asia dan negara-negara yang masih belum berkembang dalam sukan berkenaan.
“Walaupun badminton sudah kuat di banyak negara Asia, masih terdapat negara yang kurang pengetahuan dan pendedahan terhadap sukan ini. Dengan adanya MoU ini, kami percaya ia dapat membantu mempromosikan badminton serta aktiviti berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU antara BA dan ABU di ibu negara.
Sementara itu, Setiausaha Agung ABU, Ahmed Nadeem berkata ABU sedia menyediakan platform percuma kepada persatuan sukan melalui rangkaian pertukaran kandungan sedia ada mereka.
“Kebanyakan ahli kami boleh mengakses kandungan ini secara percuma. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, banyak acara sukan utama sukar diakses oleh penyiar. Oleh itu, kami mula bekerjasama dengan badan dan persekutuan serantau bagi menyediakan platform untuk mempromosikan sukan di seluruh rantau dan seterusnya,” katanya.
Kerjasama itu dianggap signifikan kerana ABU memiliki rangkaian penyiaran yang sangat luas, melibatkan lebih 200 ahli dari 60 hingga 66 negara di rantau Asia-Pasifik dan wilayah lain.
Melalui MoU tersebut, Badminton Asia dijangka dapat memanfaatkan rangkaian besar ABU untuk meningkatkan pendedahan sukan badminton kepada penonton global serta komuniti penyiaran ahli ABU.