fb fb fb fb fb

Cklamovski elak spekulasi, fokus perlawanan esok

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski (kiri) bersama kapten pasukan, Dion Cools (kanan)/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November - Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Peter Cklamovski menegaskan beliau tidak akan membiarkan sebarang spekulasi mengenai masa depannya sebagai pengendali Harimau Malaya mengganggu fokusnya menjelang pertembungan penting menentang Nepal esok.

Jurulatih kelahiran Australia berusia 47 tahun itu berkata, tumpuan beliau kini hanya terhadap usaha mempersiapkan pasukan bagi memastikan Malaysia terus berada di puncak prestasi.

1711 SKN PETER ELAK SPEKULASI 2Peter Cklamovski/BERNAMA

"Esok malam akan memperlihatkan kepada seluruh negara siapa kita sebagai sebuah pasukan kebangsaan. Itulah peluang kami untuk mewakili Malaysia dengan penuh bangga dan penuh penghormatan. Walaupun banyak saga di luar padang, apa yang boleh kami kawal ialah kerja yang kami lakukan setiap hari dalam bola sepak," katanya pada sidang media praperlawanan, di sini hari ini.

Cklamovski berkata proses pembangunan pasukan ketika ini amat memberangsangkan dan beliau berbangga dengan komitmen serta semangat ditunjukkan oleh barisan pemain dan staf kejurulatihan.

Malaysia akan berdepan Nepal dalam aksi kelima Kumpulan F Kelayakan Piala Asia AFC 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sabtu lalu, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilaporkan berkata desas-desus mengenai masa depan Cklamovski hanyalah spekulasi liar dimainkan pihak luar.

Mengulas mengenai aksi esok, Cklamovski berkata pasukannya kini dalam keadaan bersedia sepenuhnya selepas menewaskan Nepal 2-0 dalam pertemuan pertama pada Mac lalu.

Selepas empat perlawanan, Malaysia kekal mengungguli Kumpulan F dengan 12 mata, diikuti Vietnam (9 mata), Laos (3 mata), manakala Nepal masih belum meraih sebarang mata.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN