fb fb fb fb fb

Skuad Ragbi Terengganu cipta kejutan di Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan

IPOH, 3 Julai- Skuad ragbi pantai timur, Terengganu terus menjadi perhatian setelah mencipta sensasi dalam penganjuran Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan apabila mara ke pusingan separuh akhir dengan rekod tanpa kalah bagi pasukan lelaki dan wanita.

Pasukan lelaki Terengganu yang hadir selaku penyandang juara bagi kategori Lelaki Terbuka edisi terdahulu berjaya menafikan pasukan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan keputusan 21 tanpa balas bagi aksi suku akhir yang telah berlangsung di Stadium Ragbi Perak, Ipoh.

Momentum penguasaan pasukan lelaki Terengganu ini menjadi bekalan terbaik untuk melangkah ke pusingan penentuan kalah mati separuh akhir bertemu Selangor sebelum mara ke perlawanan akhir bagi penentuan kejuaraan edisi kali ini.

Begitu juga dengan pasukan ragbi wanita Terengganu yang membuat penampilan pertama bagi kategori bawah 21 tahun turut menjadi tumpuan kejohanan dengan catatan rekod tanpa kalah untuk mara ke penentuan separuh akhir setelah membuat kejutan menewaskan pasukan Pahang, 27 tanpa balas.

Seterusnya, pasukan ragbi wanita Terengganu yang dijenamakan sebagai Hanelang Ladies ini akan berentap bersama Pulau Pinang bagi perebutan tiket ke perlawanan akhir sebelum dinobatkan selaku juara.

Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan berlangsung di Stadium Ragbi Perak, Ipoh selama 3 hari itu, bakal melabuhkan tirai penganjurannya pada hari ini setelah dua tahun tertangguh berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) sewaktu pandemik COVID-19.

Sebanyak empat kategori menjadi taruhan pada penganjuran kali ini iaitu kategori Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka dan Lelaki Bawah 21 tahun manakala bagi kategori Wanita Bawah 21 tahun merupakan kategori baharu yang julung kali diperkenalkan.


(Foto FB Malaysia Rugby Union)

Media Baharu