PARIS, 3 Julai- Presiden Persekutuan Ragbi Sepanyol mengesahkan peletakan jawatannya pada Sabtu selepas rayuan negara itu terhadap kehilangan kelayakan Piala Dunia Ragbi 2023 ditolak.
Terdahulu pada April, Alfonso Feijoo menyatakan yang dia akan berhenti daripada jawatannya selepas Sepanyol disingkirkan daripada kejohanan tahun depan kerana menurunkan pemain yang tidak layak semasa kelayakan.
Pemain kelahiran Afrika Selatan, Gavin van den Berg, yang bermain di Sepanyol sejak 2018, beraksi dalam dua perlawanan kelayakan menentang Belanda pada 2020 dan 2021 tetapi dianggap tidak pernah berkhidmat selama tiga tahun residensi yang diperlukan untuk layak di bawah peraturan Ragbi Dunia .
Sepanyol dikenakan pemotongan lima mata bagi setiap pelanggaran dan denda £25,000 (AS$30,250).
Mereka akan digantikan oleh Romania pada aksi Piala Dunia manakala Portugal telah mengambil tempat yang dikosongkan oleh Romania dalam acara kelayakan terakhir yang berlangsung pada November.
Ini adalah kali kedua Sepanyol terlepas kelayakan Piala Dunia atas kesilapan sama.
Pada 2018, bersama Romania dan Belgium, mereka dikenakan pemotongan kerana menurunkan pemain yang tidak layak, membuka jalan kepada Rusia untuk layak ke Piala Dunia 2019 di Jepun.- AFP
(Presiden Persekutuan Ragbi Sepanyol, Alfonso Feijoo mengumumkan peletakan jawatannya pada Sabtu)