KUALA LUMPUR, 21 November -Skuad olahraga kebangsaan kini memasuki fasa latihan terakhir menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.
Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, fokus pasukan kini tertumpu sepenuhnya kepada persiapan akhir selepas tamat kejohanan penutup musim, Grand Final Varsity Track & Field baru-baru ini.
Beliau memaklumkan, setakat ini sesi latihan berjalan lancar dan mengikut perancangan.
“Di Kemboja, itu satu suasana yang berbeza. Kali ini, kami menumpukan perhatian kepada kedudukan ranking Asia Tenggara yang terkini.
Saya juga percaya negara lain sudah bersedia dengan atlet masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, kontinjen olahraga negara kali ini akan dibarisi gabungan atlet berpengalaman dan bakat muda.
Antara yang kekal dalam pasukan termasuk pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mohd Irfan Shamshuddin, Shereen Samson Vallabouy dan Andre Anura Anuar.
"Gabungan atlet muda dan berpengalaman ini diharap dapat bersaing secara kompetitif serta mengembalikan dan mengekalkan pingat emas bagi negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pertemuan antara Chef-de-Mission Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah dan para atlet olahraga kebangsaan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohd Manshahar berkata dua atlet yang kini berada dalam fasa pemulihan dijangka pulih sepenuhnya dan bersedia untuk bertanding pada edisi kali ini.