fb fb fb fb fb

Sukan Sea: Sasaran pingat olahraga belum diputuskan, atlet sedang dinilai

Datuk Karim Ibrahim, Presiden Olahraga Malaysia (MA)

KUALA LUMPUR, 21 November -Sasaran pingat skuad olahraga negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand masih belum dimuktamadkan.

Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim berkata, badan induk itu masih menilai prestasi semasa atlet kebangsaan sebelum sebarang sasaran rasmi diumumkan.

Jelas beliau, beberapa atlet negara kini sedang beraksi dalam kejohanan serantau dan antarabangsa menjelang temasya dwitahunan itu, sekali gus menjadi rujukan penting kepada MA.

“Kita kena bincang dulu. Masih ada beberapa kejohanan di rantau Asia Tenggara dan di luar Asia yang sedang disertai atlet kita.

Kita juga menilai atlet dari Thailand dan Vietnam dan kita kena ambil kira statistik keseluruhan sebelum membuat keputusan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi pertemuan antara Chef-de-Mission Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah dan para atlet olahraga kebangsaan di sini, hari ini.

Pada temasya Sukan SEA di Thailand kali ini, seramai 28 atlet lelaki dan 19 atlet wanita bakal menggalas cabaran skuad olahraga negara.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN