TOKYO, 21 November -Malaysia menamatkan penantian pingat emas negara dalam kejohanan Deaflympics Tokyo 2025 menerusi acara tenpin boling.
Kejayaan itu hadir di Grand Bowl Higashiyamato melalui acara berpasangan lelaki.
Gandingan Syabil Azam Syamsul Azam–Ho Choon Seong menewaskan wakil Ukraine 2-1, hasil jatuhan pin 243, 181 dan 226, sekali gus muncul juara acara Doubles.
Syabil menyifatkan kejayaan itu sebagai rezeki hasil keserasian pantas bersama rakan gandingannya.
“Saya sangat gembira dapat membanggakan ibu bapa saya. Pingat ini untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, pingat gangsa diraih dalam acara badminton beregu campuran di Keio Arena Tokyo.
Pasangan Edmund Teo–Boon Wei Ying menewaskan beregu India dalam penentuan tempat ketiga dengan kemenangan straight set 21-13, 23-21.
Edmund menyifatkan kemenangan itu sebagai kebangkitan selepas gagal melangkah ke final.
“Memang hari ini kami beri sepenuhnya. Kami bangkit untuk pastikan Malaysia dapat pingat pertama.
Terima kasih kepada jurulatih dan semua yang menyokong,” katanya.
Wei Ying pula mengakui mereka berjaya bangkit selepas mengurus semula emosi di gelanggang.
“Kami tukar mindset untuk buru gangsa dan akhirnya berjaya. Bersyukur dapat sumbang pingat buat Malaysia,” katanya.
Kejayaan dalam dua acara itu meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk mengejar sasaran tiga pingat emas pada Deaflympics Tokyo 2025.