fb fb fb fb fb

JDT benam Melaka FC 7-1, kekal dominasi Liga Super Malaysia

Foto Facebook JOHOR Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI, 22 November - Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan dominasi di puncak liga selepas mudah menundukkan Melaka FC, 7-1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Kemenangan berpesta gol itu menyaksikan JDT melebarkan rekod sempurna 10 kemenangan berturut-turut tanpa kalah atau seri dalam saingan Liga Super Malaysia.

Minit ke-6 menyaksikan larian bijak Afiq Fazail melepasi perangkap ofsaid sebelum hantaran disudahkan Jonathan Silva untuk gol pembukaan JDT.

Bergson Da Silva menanduk kemas hantaran sepakan percuma daripada Oscar Aribas, untuk menggandakan kedudukan tuan rumah pada minit ke-31.

Tiga minit selepas wisel babak kedua, Heberty Fernandes meledak gol sejurus melepasi beberapa pertahanan di depan pintu gol, disusuli Teto Martin yang menambah jaringan hasil rembatan luar kotak penalti, minit ke-50.

Bergson Da Silva sekali lagi menyempurnakan jaringan kelima JDT melalui percubaan luar kotak penalti pada minit ke-58, sebelum Teto Martin meledak dengan rembatan voli, minit ke-66.

Gol tunggal pelawat dijaringkan Azim Rahim pada minit ke-86 hasil rembatan dari lebih separuh padang, menghukum kelekaan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi, yang terkeluar posisi.

Pada minit ke-89, Heberty Fernandes menambah derita pelawat dengan sepakan percuma tepat ke sasaran untuk gol ketujuh JDT.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz, memuji anak buahnya yang berjaya mengatur variasi serangan kreatif bagi menembusi benteng pertahanan lawan yang lebih defensif.

"Ini keputusan positif menjelang satu perlawanan penting (ACLE) dan saya gembira kerana mereka menunjukkan mentaliti yang baik meskipun selepas dua minggu rehat. Persembahan malam ini memang sangat bagus," katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih Melaka FC, K. Devan, mengakui tidak meletakkan sasaran tinggi dalam perlawanan berkenaan dan kekalahan itu tidak mencetuskan panik dalam pasukan.

Bagaimanapun beliau optimis anak buahnya masih berpeluang memperbaiki prestasi terutamanya menjarakkan kedudukan dari zon penyingkiran.

"Dengan skuad yang saya miliki, mereka sudah berusaha bersungguh-sungguh. Namun, dari segi pengalaman dan kualiti, kami masih belum mampu menyaingi JDT.

"Kami faham kedudukan kami memandangkan ini kali pertama beraksi dalam Liga Super, selain sebahagian besar pemain tidak mempunyai pengalaman," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI