PETALING JAYA, 2 Mei - Skuad Malaysia Bawah 23 tahun (B-23), kembali bangkit menumpaskan Filipina 2-0 dalam aksi persahabatan Tier 2 di Stadium UiTM, Shah Alam, di sini malam tadi.
Selepas tewas 1-2 di tangan Timor Leste Jumaat lalu, skuad bimbingan Brad Maloney seakan bangkit dari kekalahan dengan mempamerkan permainan meyakinkan.
Namun tiada sebarang jaringan di separuh masa pertama.
Sebaik memasuki babak kedua, Nik Akif Syahiran telah meletakkan Harimau Muda di depan dengan 1-0 pada minit ke-53.
Tersentak dengan itu Filipina bangkit menggandakan asakan, namun percaturan pengendali Harimau Muda kelahiran Australia memasukkan pemain muda Selangor, Faiz Amer Runnizar membuahkan hasil apabila meledak gol kedua Malaysia pada minit ke-65 yang kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu, jurulatih Harimau Muda negara, Brad Maloney menyifatkan kemenangan pasukannya merupakan petanda positif menjelang temasya Sukan Sea Hanoi Vietnam 2022.
"Malam ini pasukan mempamerkan persembahan yang baik, saya lihat gandingan secara keseluruhan cukup baik, kami bermain sembilan puluh minit dengan baik, sungguh meyakinkan," katanya.
(Brad Maloney)
Pada temasya sukan Sea Hanoi, Malaysia di undi dalam Kumpulan B bersama dengan Thailand, Singapura, Kemboja dan Laos.
Harimau Muda akan menentang Thailand, Sabtu depan.