fb fb fb fb fb

Kejayaan JDT mampu beri suntikan moral skuad negara

KUALA LUMPUR, 1 Mei- Kejayaan kelab Johor Darul Takzim (JDT) mampu jadi suntikan moral buat pemain negara.

Keyakinan itu disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin selepas skuad Harimau Selatan mencipta sejarah sebagai kelab pertama Malaysia mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia-ACL 2022.

Katanya dalam satu kenyataan, pencapaian membanggakan itu mampu mendorong para pemain negara untuk mencatat kejayaan lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

"Saya cukup berbangga dan sudah tentu semua rakyat berbangga dengan kejayaan pasukan JDT ini yang akan masuk pusingan ke-16. Saya berharap pasukan ini akan terus berjaya dengan mengalahkan pasukan terbaik Asia. Saya rasa ini satu pencapaian yang cukup tinggi dan ini adalah menjadi pemangkin kepada pasukan ataupun bola sepak negara secara keseluruhan terutama pasukan kebangsaan kerana sebahagian pemain ini pun datang dari kelab ini dan kelab ini adalah terbaik," kata Hamidin kepada RTM.


(Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin)

Jelas Datuk Hamidin lagi, kejayaan itu meletakkan JDT setanding dengan kelab-kelab terbaik dari benua Asia dan diharap menjadi contoh terbaik kepada arena bola sepak negara.

Beliau turut memuji kerja keras serta perancangan yang baik daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini membuahkan hasil yang amat membanggakan.

Kejayaan itu juga mendapat ucapan tahniah daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebooknya turut menzahirkan penghargaan kepada kepada penyokong yang sentiasa setia bersama JDT.

Turut sama melahirkan rasa syukur dan bangga di atas kejayaan tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Skuad Harimau Selatan mengesahkan slot ke pusingan kalah mati ACL selaku juara Kumpulan I dengan 13 mata selepas menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor semalam.

Media Baharu