MANILA, 1 Mei- Penampilan sulung Lee Zii Jia di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Filipina nyata membawa tuah buat dirinya.
Pemain perseorangan lelaki profesional negara itu merangkul gelaran juara selepas menafikan tentangan wakil Indonesia, Jonatan Christie di pentas akhir.
Zii Jia dan Jonatan, masing-masing diletakkan sebagai pilihan ketiga dan keempat kejohanan memperagakan aksi sengit bagi merebut gelaran juara.
(Lee Zii Jia dan pemenang podium lain dari Indonesia dan China/FB Badminton Asia)
Biarpun rekod pertemuan sebelum ini lebh memihak pemani Indonesia itu namun kali ini Zii Jia lebih bersedia untuk menang 21-17, 23-21.
Dalam dua kejohanan individu pertamanya tahun ini iaitu Terbuka Jerman dan All England, Zii Jia terkandas di separuh akhir.
Bagaimanapun, dia berjaya membantu skuad badminton negara muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Setia Alam, Selangor Februari lalu.
(Syot FB Badminton Asia)
Sementara itu, harapan satu lagi wakil negara iaitu gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menamatkan penantian, merangkul gelaran sulung di pentas antarabangsa sejak digandingkan pada 2017 tidak kesampaian.
Mereka tumpas kepada pasangan Indonesia Pramudya Kusuma-Wardana dan Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan dengan straight set.
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berjaya memberi saingan di set pertama sebelum tewas 21-23.
Namun percubaan untuk bangkit di set kedua tidak menjadi apabila mudah dijinakkan 10-21.
Pencapaian terbaik mereka sebelum ini adalah tujuh kali muncul naib juara termasuklah di All England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.