fb fb fb fb fb

Sultan Johor bangga pencapaian JDT

KUALA LUMPUR, 1 Mei- Kejayaan Johor Darul Takzim (JDT) melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat kali pertama malam tadi turut menerima ucapan tahniah daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Ucapan tersebut dizahirkan menerusi laman Facebook rasmi baginda hari ini.

Menerusi laman rasmi tersebut, Sultan Ibrahim menzahirkan pujian dan rasa bangga terhadap seluruh pemain pasukan JDT yang mempamerkan aksi cemerlang sehingga berjaya mencipta satu lagi sejarah buat kelab berkenaan.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada para penyokong skuad Harimau Selatan itu yang tetap setia di belakang pasukan kesayangan mereka.

Turut sama melahirkan rasa syukur dan bangga di atas kejayaan tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri petang semalam, JDT melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati kempen ACL buat kali pertama selepas menundukkan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1.

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora mara sebagai juara Kumpulan I selepas mengumpul 13 mata hasil empat kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dalam dalam enam perlawanan.

Media Baharu