(Hoki Piala Sultan Azlan Shah, Malaysia seri 1-1 lawan Pakistan)
IPOH, 3 November- Malaysia terlepas peluang mengutip 3 mata penuh selepas diikat Pakistan 1-1 dalam perlawanan kedua saingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Edisi ke-29 pada Rabu.
Selepas tewas kepada Korea Selatan dalam perlawanan pada Selasa, skuad negara tampil dengan aksi lebih kemas bagi memburu kemenangan pertama.
Gol pasukan kebangsaan disumbangkan oleh Shello Silverius menerusi jaringan padang pada minit ke-28.
Asakan berterusan pasukan pelawat membuahkan hasil apabila Arbaz Ahmad menjaringkan gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-37.
Aksi tangkas penjaga gol negara Hafizuddin Othman berjaya menafikan beberapa percubaan Pakistan sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Pengendali Speedy Tigers, Arul Selvaraj berkata, meskipun hanya mengutip satu mata beliau tetap berpuas hati dengan aksi dipamerkan pasukannya.
"Kami dapat lima pukulan sudut penalti, tapi tidak memperoleh sebarang skor. Pakistan juga memiliki lima pukulan yang sama, tetapi memperoleh satu skor. Kami terlepas beberapa peluang tapi semestinya kami akan terus menampilkan aksi terbaik. Kami akan terus fokus."
Pada perlawanan aksi terdahulu, Mesir melakar kejutan dengan menewaskan Afrika Selatan 3-0 manakala Korea Selatan menundukkan Jepun 1-0.
(Arul Selvaraj, Pengendali Speedy Tigers)