fb fb fb fb fb

Skuad futsal pekak negara sasar kekal juara di Sukan SEA Pekak 2025

Skuad futsal pekak negara sasar kekal juara di Sukan SEA Pekak 2025 / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ketua jurulatih skuad futsal lelaki dan wanita orang pekak negara, Lo Fook Fah optimis Malaysia mampu mempertahankan gelaran juara pada Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia, dari 20 hingga 26 Ogos ini.

Mengakui sedikit tekanan sebagai juara bertahan, Lo tetap percaya kedua-dua pasukan berpotensi menyumbang pingat emas pada temasya kali ini.

1308 SKN SEA DEAF PERSIAPAN FUTSAL 2Lo Fook Fah

“Pasukan lelaki memang kita target emas, itu misi kita. Untuk pasukan wanita pula, prestasinya sangat baik dengan peningkatan ketara, jadi saya rasa mereka juga boleh capai sasaran emas,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Sentul, hari ini.

Thailand dan Indonesia dijangka menjadi pencabar utama skuad negara, namun Lo menegaskan barisan pemainnya bersedia untuk memberi tentangan.

“Berdasarkan pengalaman, Malaysia kadang-kadang tewas dengan Thailand. Tapi kali ini, kita akan pastikan kemenangan berpihak kepada kita,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Kontinjen ke Sukan SEA Pekak 2025, Sarkunan Balakrisnan berkata pemilihan pemain kali ini menampilkan gabungan tenaga muda dan bimbingan jurulatih berpengalaman.

1308 SKN SEA DEAF PERSIAPAN FUTSAL 3Sarkunan Balakrisnan

“Daripada prestasi yang saya lihat hari ini, memang sangat membanggakan. Saya yakin mereka mampu membawa pulang pingat seperti diharapkan,” katanya.

Pada edisi lalu, skuad futsal lelaki orang pekak negara menjuarai acara itu, manakala skuad wanita menamatkan saingan di tempat ketiga.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN