fb fb fb fb fb

KBS mohon dana tambahan bantu karier perlumbaan Hakim Danish di Eropah

Hakim Danish Ramli / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memohon dana tambahan daripada Kementerian Kewangan bagi memperkukuh sokongan terhadap sukan permotoran, khususnya untuk membantu pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, meneruskan program perlumbaan di Eropah.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata selain usaha kerajaan, pihaknya turut mengharapkan sumbangan daripada syarikat korporat bagi memastikan karier pelumba berusia 17 tahun itu terus cemerlang di peringkat domestik dan antarabangsa.

1308 SKN HANNAH BANTU BAKAT MUDA 2Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto Bernama

“Kita memang mempunyai banyak bakat yang perlu disokong tetapi dana kita terhad. Jadi, untuk Hakim, KBS akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan lebih banyak dana.

“Kita berharap Kementerian Kewangan akan dapat membantu, tetapi seperti yang semua tahu, sukan permotoran bukanlah murah. Pelaburan ini mengambil masa, dan kita doakan permohonan ini berjaya,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran GP Malaysia 2025 di ibu negara, pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Hakim Danish memerlukan kos tinggi untuk mengharungi musim perlumbaan, termasuk peluang beraksi sebagai pelumba wild card dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN