fb fb fb fb fb

SUKMA 2026: Terengganu lancar logo, slogan "Terengganu Nelang"

"Terengganu Nelang" adalah slogan dan logo rasmi kontinjen Terengganu sempena SUKMA 2026

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Menjelang Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor pada tahun 2026, kontinjen Terengganu memulakan Misi Emas dengan pelancaran logo dan slogan rasmi bertemakan “Terengganu Nelang”.

Slogan “Nelang” sinonim dengan pasukan dari negeri Pantai Timur itu membawa maksud sangat hebat dan garang. Menurut tafsiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), istilah ini juga merangkumi makna handal, setia, cekap, dan pandai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, menjelaskan bahawa genggaman tangan pada maskot rasmi Terengganu melambangkan tekad dan iltizam kontinjen untuk mencapai kejayaan luar biasa.

Manakala perisai emas yang turut menjadi elemen utama logo melambangkan benteng kekuatan dalam menangkis segala serangan serta cabaran yang bakal dihadapi, sama ada secara dalaman atau luaran, dengan berteraskan cahaya nur dan istiqamah.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis “Selangkah Mencipta Gemilang – Misi Emas Bermula” Kontinjen Sukan Negeri Terengganu bagi SUKMA ke-22 Selangor 2026, yang diadakan di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Terdahulu, majlis berkenaan dihadiri 700 tetamu, kebanyakannya atlet muda pra-SUKMA serta para pegawai daripada pelbagai acara sukan.

Perhimpunan ini menjadi medan pertemuan pertama kontinjen negeri sebagai persiapan awal menghadapi temasya yang akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026.

Sebanyak 34 jenis sukan akan dipertandingkan pada edisi kali ini, merangkumi 30 acara sukan wajib termasuk Tinju dan Sofbol, serta empat acara sukan pilihan iaitu Catur, Kabadi, E-Sukan, dan Kriket.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI