fb fb fb fb fb

Kerajaan sokong penganjuran MotoGP Malaysia di SIC

Kerajaan sentiasa menyokong penganjuran MotoGP Malaysia dan bersedia memastikan perlumbaan itu terus berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan kerajaan sentiasa menyokong penganjuran MotoGP Malaysia dan bersedia memastikan perlumbaan itu terus berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) walaupun kontrak semasa dijangka berakhir tahun hadapan.

“Setiap kali kontrak tamat atau dilanjutkan, pihak SIC akan memohon kepada kerajaan. Kita akan sediakan kertas kabinet dan mempertimbangkan pelbagai faktor, namun kerajaan memang sangat menyokong MotoGP kerana ia menarik ramai pengunjung ke Sepang,” katanya.

1308 SKN HANNAH KONTRAK MOTOGP 2Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, Azhan Shafriman Hanif / Foto Bernama

Kontrak penganjuran MotoGP Malaysia di SIC dimeterai bersama pemegang hak komersial, Dorna Sports sejak 1999, menjadikan litar itu antara venue tetap dalam kalendar Kejuaraan Motosikal Dunia.

Menurut Hannah, penganjuran acara berprestij itu bukan sahaja mempromosikan sukan permotoran negara, malah menjadi tarikan pelancong dengan kemasukan ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa setiap tahun.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia memanfaatkan peluang untuk hadir menyaksikan perlumbaan itu tahun ini dan tahun hadapan, kerana peningkatan jumlah penonton akan membuktikan populariti acara tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN