KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Tiga pemain bola sepak muda tempatan bakal berpeluang menjalani latihan di Pusat Latihan Tottenham Hotspur, London, United Kingdom, menerusi edisi kedua Biasiswa Bakat Dashing yang dilancarkan hari ini.
Program anjuran jenama penjagaan diri lelaki terkemuka itu merupakan pencarian bakat bola sepak peringkat kebangsaan yang menyasarkan remaja lelaki berusia 15 hingga 18 tahun bagi digilap dari peringkat akar umbi sehingga berpotensi beraksi di pentas antarabangsa.
Pengurus pemasarannya, Devarshi Dalmia berkata program itu bukan sekadar kempen, sebaliknya usaha berterusan memberi keyakinan, pendedahan dan peluang kepada bakat muda negara untuk bersaing di peringkat tertinggi.
"Bukan sekadar promosi produk, sebaliknya satu kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada pemain bola sepak muda Malaysia, platform ini membuka peluang kepada mana-mana pemain untuk bukan sahaja mempamerkan kemahiran, malah menimba pengalaman berharga daripada salah satu akademi bola sepak terbaik di dunia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media majlis perasmian program Biasiswa bakat produk berkenaan di Ibu Negara.
Daripada semua penyertaan, 120 pemain akan disenarai pendek untuk menghadiri Kem Identifikasi bakat Eksklusif di Arena Sukan Kuala Lumpur pada Oktober ini, yang akan dikendalikan oleh Jurulatih Pembangunan Global Tottenham Hotspur.
Sepanjang tempoh kempen, RM1 daripada setiap pembelian produk berkenaan akan disumbangkan kepada dana program itu bagi membiayai kos tiga pemain yang terpilih.