fb fb fb fb fb

Skuad bola sepak Johor cabar Wilayah di suku akhir

(Johor menewaskan Sarawak 2-0 pada aksi terakhir kumpulan
di Stadium Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) semalam/FOTO Facebook Flash Sukan)

KUALA LUMPUR, 17 September - Johor dan Pahang berjaya menempah tiket ke suku akhir acara bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, selepas berjaya muncul sebagai dua pasukan teratas Kumpulan B.

Pada saingan lapan terakhir Isnin depan, Johor selaku juara Kumpulan B bakal mencabar Wilayah Persekutuan, manakala juara Kumpulan A Selangor akan bertemu Pahang.

Johor, yang masih memburu ibu segala pingat emas itu sejak 1986, berjaya menduduki tangga teratas selepas menewaskan Sarawak 2-0 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) semalam.

Tonggak pertahanan Muhammad Naqiu Aiman Abdul Hadi meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-48, sebelum G. Daryl Sham mengandakan jaringan pada masa kecederaan (90+4) menerusi sepakan penalti.

(Pasukan bola sepak Johor Kumpulan B/FOTO Facebook Flash Sukan)

Di Stadium UiTM, Shah Alam pula, Pahang mengikat Melaka 2-2 pada aksi sebelah malam untuk menemani Johor ke suku akhir.

Johor menamatkan saingan di kedudukan teratas dengan tujuh mata, diikuti Pahang (5), Sarawak (3) dan Melaka (1).

Sementara itu, Selangor menamatkan saingan di kedudukan teratas Kumpulan A berdasarkan perbezaan gol, selepas mengikat Wilayah Persekutuan 1-1 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Skuad ‘The Wipers’ terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Muhammad Adam Mukriz Syamsul Ariffin pada minit ke-20, sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Adim Muzahhir Saipu Azuan pada minit ke-36.

Walaupun kedua-dua pasukan berkongsi 7 mata selepas mencatatkan kemenangan ke atas Negeri Sembilan dan juara 2018 Perak, namun Selangor mempunyai kelebihan menerusi perbezaan jaringan. - BERNAMA

Media Baharu