KUALA LUMPUR, 10 November- Permohonan pembinaan stadium mini di Matang, Perak tidak diluluskan oleh Kementerian Ekonomi.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata permohonan di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) itu telah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan dan kelulusan.
Beliau juga memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menerima sebarang permohonan rasmi atau di bawah senarai permohonan negeri bagi pembinaan stadium mini di Bukit Gantang di bawah Rolling Plan 1, RMK13.
"Permohonan projek pembinaan fasiliti sukan berskala besar seperti pembinaan mini stadium perlu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan disenaraikan dalam Senarai Keutamaan Negeri terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada KBS.
Ini adalah penting memandangkan pembangunan infrastruktur sukan memerlukan perancangan rapi daripada Kerajaan Negeri," kata Hannah di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Mengulas lanjut, Hannah Yeoh menegaskan bahawa permohonan tersebut juga perlu mematuhi Garis Panduan Penyediaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Permohonan Projek Pembangunan Tahun 2026-2030.
"Urusan pendaftaran tanah atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan atau pewartaan Rizab Persekutuan dan Rizab Negeri bagi maksud Persekutuan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum permohonan projek pembangunan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk kelulusan," katanya.