fb fb fb fb fb

Aaron Chia, Cheong Min dinobat Olahragawan dan Olahragawati Melaka 23/24

Aaron Chia Teng Fong dan Tan Cheong Min/BERNAMA

BANDA HILIR, 10 November- Pemain badminton beregu negara, Aaron Chia Teng Fong dan atlet wushu, Tan Cheong Min dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Melaka bagi tahun 2023/2024.

Anugerah berkenaan disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dalam majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 di Banda Hilir, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Anugerah berkenaan melayakkan mereka menerima wang tunai RM3,000, piala pusingan, trofi iringan dan sijil.

"Ya, saya rasa anugerah ini akan memberikan saya lebih banyak motivasi," kata Aaron Chia kepada pemberita.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka dan juga Majlis Sukan Negeri Melaka kerana mereka mengiktiraf usaha saya. Mereka juga memberikan sokongan dan bantuan yang besar dalam karier sukan saya," kata Cheong Min kepada pemberita.

Sementara itu, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan Negeri Melaka diraih atlet wushu, Lee Ronn,14 tahun dan atlet angkat berat Nurul Syasya Khairina Syamsur, 16 tahun.

"Oleh itu, saya berasa bangga. Saya berharap anugerah kali ini akan memacu saya untuk terus maju dan membanggakan nama Negeri Melaka, insya-Allah," kata Nurul Syasya Khairina kepada pemberita.

"Saya tidak menjangka kemenangan ini kerana pesaing-pesaing lain juga sangat hebat," kata Ronn kepada pemberita.

Sebanyak lapan kategori Anugerah Sukan Negeri Melaka disenaraikan bagi menghargai pencapaian penggiat sukan termasuk Anugerah Pasukan Terbaik yang dirangkul pasukan bola sepak lelaki.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM