BANDA HILIR, 10 November- Seramai 790 atlet Melaka telah didaftarkan dalam senarai panjang (long list) sebagai persiapan awal kontinjen negeri itu menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Datuk V.P. Shanmugam berkata pendaftaran awal itu bertujuan memastikan atlet berbakat kelahiran Melaka diberi peluang dan sokongan penuh untuk mewakili negeri sendiri.
Setakat ini, Melaka aktif melaksanakan pelbagai pertandingan dan sesi latihan bagi mencungkil bakat baharu serta menilai prestasi atlet sedia ada bagi mewakili negeri itu dalam 37 jenis sukan yang bakal dipertandingkan.
"Sebanyak 790 nama telah didaftarkan. Tujuan kita mendaftarkan nama-nama ini adalah untuk memastikan supaya pemain-pemain atau anak-anak Melaka, yang mempunyai pengalaman yang baik, tidak diambil oleh negeri lain.
Apabila nama mereka dimasukkan dalam 'senarai panjang' (long list), sekiranya Melaka tidak mengambil mereka atau tidak mencalonkan mereka dalam 'senarai pendek' (short list), mereka bebas untuk bermain dengan negeri lain," kata Datuk V.P. Shanmugam kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 Bagi Tahun 2023/2024, di sini.
Tambahnya, Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka turut menempatkan jurulatih sepenuh masa, separuh masa dan sambilan bagi memperkukuh persiapan pasukan selain menyasarkan untuk memperbaiki pencapaian terdahulu iaitu membawa pulang 17 pingat emas, 23 perak dan 30 gangsa di SUKMA Sarawak 2024.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta bagi penyelenggaraan dan baik pulih fasiliti sukan di seluruh negeri, dengan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima RM50,000.