fb fb fb fb fb

Kemelut FAM-FIFA, fokus Harimau Malaya tidak terganggu - Cklamovski

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November- Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memastikan fokus skuad kebangsaan tidak terjejas meski badan induk bola sepak negara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilanda kemelut hukuman Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA).

Tambahnya, isu luar padang tidak harus mengganggu tumpuan pasukan negara yang kini dalam fasa latihan intensif selain menegaskan komitmen beliau dan pemain kekal sepenuhnya terhadap prestasi di padang.

Skuad Harimau Malaya kini dalam fasa mempersiap pasukan menjelang perlawanan penting Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal, 18 November ini.

"Apa-apa yang dikatakan atau difikirkan oleh orang lain adalah di luar kawalan saya. Saya hanya berharap dapat membanggakan Malaysia melalui cara kami bermain, identiti bola sepak kami dan keputusan yang kami capai."

"Selain itu, saya berhasrat untuk menamatkan tahun antarabangsa 2025 tanpa sebarang kekalahan, dengan mempamerkan corak permainan yang baik, menjaringkan gol, dan mengekalkan gawang daripada dibolosi," kata Cklamovski ketika ditemui selepas sesi latihan di Hyatt Place, ibu negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa kem latihan kali ini memberi tumpuan kepada penyesuaian taktikal dan kekuatan fizikal pemain, terutama selepas jadual padat Liga Super.

Menurutnya, beberapa muka baharu turut dipanggil bagi menambah pilihan taktikal, dengan barisan pemain senior berperanan membimbing rakan sepasukan mengekalkan disiplin dan semangat juang tinggi.

Selain itu, Cklamovski percaya bahawa barisan pemain Harimau Malaya memiliki sikap profesional dan mentaliti yang tinggi untuk menghadapi sebarang situasi termasuk membabitkan isu tujuh pemain warisan itu.

Sebelum ini, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain atas dakwaa melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM