fb fb fb fb fb

Nasib Badrul Afzan belum diputuskan, TFC fokus aksi berdepan NSFC

Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November- Nasib ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali masih menjadi tanda tanya apabila pengurusan kelab belum memutuskan kedudukannya, sebaliknya memilih untuk menilai prestasi pasukan secara menyeluruh menjelang aksi menentang Negeri Sembilan FC (NSFC).

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai berkata sebarang keputusan berkaitan barisan kejurulatihan akan dibuat selepas penilaian oleh Jawatankuasa Teknikal dan Lembaga Pengarah kelab.

""Pertama sekali, kita masih berada di kedudukan lima teratas iaitu tempat keempat. Jadi, kita masih lagi berada pada landasan yang betul. Buat masa ini, bagi saya, sebarang keputusan mengenai kejurulatihan atau kakitangan utama dalam pasukan akan melalui Jawatankuasa Teknikal. Ia juga akan melalui proses kelulusan daripada pihak Lembaga Pengarah.

Oleh itu, buat masa ini, tiada sebarang keputusan yang telah dibuat. Apa yang perlu kita lakukan ialah memberikan fokus kepada pasukan kita untuk menghadapi perlawanan seterusnya," kata Sheikh Farouk kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengumuman MILLS sebagai Rakan Strategik Footwear Rasmi Terengganu FC bagi musim 2025/2026 di ibu negara.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menilai beberapa calon bagi mengisi jawatan Pengarah Teknikal baharu, sama ada dari dalam atau luar negara, dengan keutamaan kepada mereka yang mempunyai pengalaman dalam Liga Super atau liga utama Asia.

TFC juga merancang untuk membawa masuk dua hingga tiga pemain baharu pada jendela perpindahan Januari ini, dengan tumpuan terhadap posisi penyerang, tengah dan pertahanan bagi memperkukuh pasukan menghadapi separuh kedua musim.

Beliau juga menegaskan sasaran kelab kekal untuk menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik Liga Super, selain terus memberikan saingan dalam Piala Malaysia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM