PETALING JAYA, 11 Oktober - Skuad wanita kebangsaan meletakkan sasaran untuk memperbaiki kedudukan pada Siri Kedua Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7s) Asia 2025, yang bakal berlangsung pada 18 Oktober ini di Colombo, Sri Lanka.
Ketua jurulatih, Muhammad Faiz Samsukhidir, berkata kejohanan Siri Pertama sebelum ini menjadi medan penting untuk menilai kekuatan pasukan.
Beliau mengakui banyak kelemahan perlu diperbaiki, terutama dalam misi memburu slot ke pusingan kelayakan Kejohanan Asia itu.
"Setakat ini prestasi pasukan dalam keadaan baik tetapi kita masih jauh lagi. Kita kekal tempat nombor lapan, tapi sasaran kali ini nak naik sekurang-kurangnya keenam," katanya pada sesi latihan di Padang Astaka, di sini.
Beliau turut menyatakan skuad negara kini menunjukkan perkembangan positif selepas mengambil iktibar daripada kesilapan yang dilakukan ketika beraksi di China.
“Alhamdulillah, ada peningkatan yang ketara dalam corak permainan. Kami sedang berusaha memperbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti dan berharap dapat menampilkan prestasi lebih mantap di Colombo nanti. Fokus utama kami kini adalah untuk konsisten hingga ke temasya Sukan SEA,” jelas Faiz.
Mengulas lanjut, Faiz mengakui cabaran besar menanti anak buahnya di Sri Lanka, khususnya menentang pasukan kuat seperti China dan Kazakhstan.
Pasukan turut berdepan sedikit perubahan dalam barisan pemain susulan kecederaan yang menimpa pemain tengah utama, Dinah Syafiqah, yang baru sahaja menjalani pembedahan.
“Kita sedang menilai beberapa pemain bagi mengisi kekosongan itu dan senarai akhir 12 pemain akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Saingan yang akan berlangsung di Colombo itu menyaksikan skuad Bunga Raya wanita diundi dalam Kumpulan D bersama pasukan China, Filipina dan Kazakhstan.
