KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyambut baik insentif pelepasan cukai bagi penganjur acara menerusi Belanjawan 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menyifatkan langkah itu sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan besar penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa seperti MotoGP Malaysia dalam merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi negara.
“Kejohanan seperti MotoGP saban tahun menarik lebih 15,000 pengunjung antarabangsa ke negara ini. Kehadiran mereka bukan sahaja memeriahkan acara, malah menjana kesan ekonomi yang signifikan kepada pelbagai sektor,” katanya secara eksklusif kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Azhan memaklumkan SIC kini sedang mengadakan rundingan intensif bersama pihak penganjur MotoGP bagi membawa acara perasmian perlumbaan musim baharu ke Kuala Lumpur.
“Jika berjaya, acara pembukaan musim itu dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dan berpotensi menjana impak ekonomi hampir RM20 juta kepada negara,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan insentif pengecualian cukai sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membantu SIC memperkukuh pelaburan dalam pelbagai aspek penting dan kepada Malaysia secara amnya.
“Langkah ini secara langsung menyokong usaha Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai destinasi utama bagi acara sukan dan pelancongan dunia,” tambah Azhan.