fb fb fb fb fb

Kompleks Renang Kuala Lumpur bakal berwajah baharu

Kemudahan lama berkenaan sekian lama berjasa melahirkan ramai perenang kebangsaan /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Kompleks Renang Kuala Lumpur bakal dinaik taraf menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low menyifatkannya sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan renang negara.

Kemudahan lama berkenaan sekian lama berjasa melahirkan ramai perenang kebangsaan.

"Kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin menyalurkan peruntukan untuk menaik taraf kolam yang uzur. Harapan kami, kerja naik taraf dapat dipercepatkan," katanya ketika dihubungi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Andy turut mencadangkan agar fasiliti tersebut dilengkapi dengan bumbung bertutup, sejajar dengan standard kebanyakan kolam renang kejohanan di Malaysia.

"Kuala Lumpur sebagai bandar raya utama seharusnya memiliki fasiliti terbaik. Bumbung penting supaya latihan dapat dijalankan lebih lama tanpa bergantung kepada cuaca," jelasnya.

Menurut beliau, antara kerosakan utama yang dikenal pasti melibatkan bahagian lantai kolam, tandas, serta podium di kawasan terjun, yang memerlukan pembaikan menyeluruh bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.

Bagaimanapun, Andy memaklumkan anggaran kos keseluruhan projek masih belum ditentukan, dan akan dirujuk kepada pihak pengurusan kompleks dalam tempoh terdekat.

Pada pembentangan Belanjawan 2026 semalam, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan serta penaiktarafan infrastruktur dan sosial di seluruh negara, termasuk kemudahan sukan, melalui pelaksanaan RMK13 yang dirangka berdasarkan permohonan kerajaan negeri.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN