fb fb fb fb fb

Mbappe terlepas aksi bertemu Iceland

Mbappe mengalami kecederaan berulang /Foto AFP

KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Tonggak Perancis, Kylian Mbappe disahkan tidak dapat beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Iceland Isnin ini, akibat cedera.

Ketiadaannya menggugat peluang pasukan untuk menempah tiket awal ke kejohanan berprestij dunia itu.

Kenyataan rasmi Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) memaklumkan, kapten Les Bleus itu mengalami kecederaan pada buku lali kanan, yang kembali memburuk selepas menerima dua terjahan ketika kemenangan 3-0 ke atas Azerbaijan, Jumaat lalu.

“Mbappe tidak dapat diturunkan untuk aksi menentang Iceland,” jelas kenyataan FFF.

“Dia telah berbincang dengan jurulatih Didier Deschamps dan kini telah dilepaskan untuk kembali ke kelabnya, Real Madrid. Tiada pemain pengganti akan dipanggil.”

Mbappe, yang sebelum ini sudah mengalami kecederaan ringan pada pergelangan kakinya ketika bersama Real Madrid, mencetak gol pembukaan sebelum terpaksa dikeluarkan lebih awal selepas menerima dua hentakan — termasuk satu terjahan keras oleh Rustam Ahmedzade.

Ketiadaan Mbappe menambah deretan pemain penyerang utama yang tidak dapat diturunkan bulan ini termasuk Ousmane Dembele, Desire Doue, Marcus Thuram, dan Bradley Barcola.

Meskipun tanpa bintang utamanya, Perancis kekal unggul dalam Kumpulan D, selepas menang kesemua tiga perlawanan setakat ini.

Les Bleus berupaya mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico jika mereka menewaskan Iceland dan jika Ukraine gagal menewaskan Azerbaijan. - AFP

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN