fb fb fb fb fb

Pearly-Thinaah ke pentas akhir Terbuka Artik

Beregu utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah bangkit daripada ketinggalan, sebelum mengesahkan kemaraan ke final Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2025 di Vantaa, Finland.

Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Vantaan Energia Areena, pasangan pilihan kedua kejohanan itu dikejutkan oleh gandingan Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu, yang merampas set pembukaan 24-22 dalam pertarungan sengit.

Namun, Pearly-Thinaah tidak panik dan kembali ke gelanggang dengan lebih fokus untuk mempamerkan dominasi penuh di set kedua, meraih kemenangan mudah 21-8.

Set penentuan berlangsung lebih dramatik apabila kedua-dua pasangan saling berbalas mata, namun ketangkasan dan pengalaman wakil Malaysia sukar dinafikan, apabila mereka menoktahkan kemenangan 21-17 untuk mara ke pentas akhir.

Kejayaan ini turut mengukuhkan rekod tanpa kalah 2-0 Pearly-Thinaah ke atas pasangan Taiwan tersebut.

Gandingan negara yang menamatkan saingan sebagai naib juara edisi terdahulu, bakal berdepan cabaran getir esok apabila bertemu beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, bagi merebut gelaran juara.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN