WUHAN, 11 Oktober - Pemain di ranking keenam dunia, Jessica Pegula mara ke final Terbuka Wuhan 2025.
Dia mencipta kejutan apabila bangkit daripada ketinggalan dalam set penentuan untuk menewaskan pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, 2-6, 6-4, 7-6 (2).
Dalam perlawanan mendebarkan yang berlangsung selama dua jam 20 minit, Pegula menunjukkan ketahanan mental luar biasa apabila kembali daripada ketinggalan 2-5 dalam set ketiga.
Dia berjaya mematahkan servis Sabalenka ketika pemain Belarus itu cuba untuk menamatkan perlawanan, sebelum sekali lagi mematahkan servis lawan bagi mendahului 6-5.
Meskipun Pegula terlepas dua mata kemenangan dalam aksi berikutnya, dia bangkit menguasai tiebreak dengan permainan cemerlang untuk mengesahkan tempat ke final.
Menanti Pegula di pentas akhir ialah rakan senegara, Coco Gauff.
Terdahulu, Gauff melangkah ke final selepas menundukkan wakil Itali, Jasmine Paolini, straight set 6-4, 6-3 dalam aksi separuh akhir.
Final Terbuka Wuhan dijadual esok bakal menyaksikan pertarungan menarik antara dua pemain terbaik Amerika Syarikat — Pegula menentang Gauff — dalam perebutan gelaran WTA 1000 berprestij. - REUTERS