BACHOK, 11 Oktober - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus memperkukuh usaha melahirkan pelajar yang berdaya saing dan berjiwa keusahawanan melalui penganjuran Kejohanan Sukan Kuda Lasak UMK Cup 2025.
Program berlangsung meriah di Pantai Kandis, di sini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Profesor Dr. Mohammad Ismail, berkata kejohanan edisi kali ini menerima sambutan luar biasa dengan penyertaan 112 peserta dari seluruh negara termasuk dari Terengganu dan Kedah — peningkatan ketara berbanding 80 peserta ketika penganjuran Sprint 2023.
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan antaranya Kejohanan Kuda Lasak Peringkat Kebangsaan 40 kilometer, Amatur 30 kilometer dan VIP atau Veteran 15 kilometer.
“Antara objektif utama kejohanan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar dalam aspek pengurusan dan penganjuran acara berskala besar secara profesional, dengan bimbingan pensyarah dan pihak universiti,” katanya selepas kejohanan.
Menurut beliau, inisiatif ini sejajar dengan Pelan Strategik UMK30 yang merangkumi 14 teras utama, termasuk penekanan terhadap aktiviti sukan lasak sebagai salah satu komponen pembangunan sahsiah, kesejahteraan pelajar dan komuniti kampus secara menyeluruh.
Selain memperkukuh kemahiran insaniah, penganjuran UMK Cup turut membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka bidang keusahawanan, termasuk melalui penyediaan gerai jualan, ruang penajaan dan aktiviti berasaskan pendapatan.
Tambah beliau, sukan kuda lasak berpotensi besar bukan sahaja dalam menggalakkan gaya hidup sihat, malah berupaya menjadi produk pelancongan sukan yang boleh menarik pelawat dan pencinta sukan ke negeri Kelantan.
“Insya-Allah, kejohanan ini akan diteruskan tahun hadapan dengan skala yang lebih besar dan impak yang lebih luas,” ujarnya optimis.