KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Majlis Sukan Negara (MSN) bertekad membalas kepercayaan kerajaan yang memberi peningkatan peruntukan bagi pembangunan sukan negara menerusi Belanjawan 2026.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin memaklumkan peruntukan besar itu menjadi suntikan semangat dalam memperkasa pelaksanaan program latihan dan persiapan atlet negara menuju kejohanan sukan antarabangsa.
“Peruntukan ini amat signifikan dan tepat pada masanya, apatah lagi ketika MSN sedang giat memperkukuh pelaksanaan Program Road to Gold (RTG), Program Podium, serta Program Bakat Negeri yang menjadi tunjang utama pembangunan atlet negara,” katanya menerusi satu kenyataan.
2026 bakal menjadi tahun penting bagi kontinjen negara dengan penyertaan atlet negara dalam beberapa temasya sukan utama termasuk Sukan Para ASEAN di Thailand, Sukan Asia dan Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya, Jepun, serta Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.
Menurut Jefri, MSN juga telah memulakan langkah awal dalam persiapan jangka panjang ke arah penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 yang akan berlangsung di Malaysia.
Antara tumpuan utama adalah memperkukuh pembangunan atlet para di peringkat negeri.
“Fokus kepada pembangunan atlet para mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada yang terpinggir dalam arus kemajuan sukan negara,” tambahnya.
MSN yakin dengan sokongan padu daripada kerajaan dan pelaksanaan program yang tersusun, pencapaian atlet negara di pentas antarabangsa dapat terus dipertingkat.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan lebih RM580 juta untuk pembangunan sukan, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM230 juta menerusi belanjawan terdahulu.
