KOTA BHARU, 11 Oktober - Sasaran pingat bagi kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 di Thailand hanya akan diumumkan selepas mesyuarat akhir diadakan pada November ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Abdullah Hassan berkata, langkah itu bagi memastikan jumlah acara dan disiplin sukan yang bakal dipertandingkan disahkan sepenuhnya tuan rumah, Thailand.
Rundingan masih dijalankan memandangkan beberapa acara sukan masih dalam pertimbangan pihak penganjur.
"Setiap temasya Sukan SEA menampilkan acara yang berbeza, jadi kita perlu menunggu keputusan muktamad. Masih terdapat beberapa acara sukan yang sedang dipertimbangkan oleh pihak penganjur Thailand. Setelah jumlah sukan yang akan dipertandingkan dimuktamadkan, barulah sasaran pingat dapat diumumkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Kelantan 2025 di sini.
Bagaimanapun kementerian tidak mahu menetapkan sasaran awal selagi senarai penuh acara belum dimuktamadkan jawatankuasa penganjur temasya.
Namun Malaysia sudah mengenal pasti beberapa sukan tumpuan yang berpotensi menyumbang pingat emas seperti badminton dan hoki.
Mengulas mengenai kemungkinan sukan Muay Thai dipertandingkan, beliau menjelaskan KBS akan merujuk terlebih dahulu kepada persatuan induk di Malaysia sebelum membuat keputusan penyertaan.
Peranan penyediaan atlet adalah tanggungjawab persatuan sukan berkenaan, manakala Majlis Sukan Negara (MSN) dan KBS akan menguruskan aspek penghantaran dan logistik atlet.
