fb fb fb fb fb

KBS fokus penyelenggaraan fasiliti sukan rosak menerusi peruntukan RM580 juta

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Abdullah Hassan/BERNAMA

KOTA BHARU, 11 Oktober -Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi tumpuan kepada usaha penyelenggaraan fasiliti sukan yang rosak di seluruh negara, menerusi peruntukan RM580 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 semalam.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Abdullah Hassan berkata, peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu disifatkan sebagai satu langkah positif yang menyokong pembangunan sektor belia dan sukan negara.

"Memang sebahagian daripada dana yang diluluskan adalah bertujuan menyelenggara fasiliti-fasiliti sedia ada yang telah rosak atau usang itu memang ada. Cuma kita kurang memberi tumpuan kepada fasiliti baru tetapi lebih kepada menyelenggara sedia ada dan ada tumpuan tertentu untuk fasiliti baru. Contoh antara lain yang sedang kita laksanakan sekarang adalah fasiliti untuk SUKMA 2028 di Kelantan itu dalam peringkat pembinaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Kelantan  di Dataran Masjid Muhammadi, di sini.

Semalam media melaporkan, kerajaan terus memperhebat pembangunan sukan negara dengan penyaluran peruntukan menerusi Belanjawan 2026.

Peruntukan tersebut merangkumi pemerkasaan sukan berprestij tinggi, termasuk program Road to Gold serta persediaan menghadapi Temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 yang akan berlangsung di Malaysia.

Selain itu, peruntukan turut melibatkan usaha memperkasa atlet para dan sukan orang pekak, penyelenggaraan serta pembaikan kemudahan belia dan sukan di seluruh negara dan kerja-kerja menaik taraf padang sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

TETITIA YUSOFF