OHIO, 17 Ogos- Pilihan utama dan juara bertahan, Jannik Sinner meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-24 dengan bergaya apabila menamatkan kemaraan pemain kelayakan Perancis, Terence Atmane, menerusi kemenangan 7-6(4), 6-2 pada separuh akhir Terbuka Cincinnati, pada Sabtu.
Pemain nombor satu dunia dari Itali itu beraksi cemerlang apabila memenangi 91 peratus mata daripada servis pertamanya, tidak berdepan sebarang break point sepanjang 86 minit perlawanan, serta memanfaatkan dua daripada lima peluang break point dalam pertemuan sulung menentang Atmane, yang kini menghuni ranking ke-136 dunia.
Set pertama berlangsung sengit tanpa sebarang peluang break point buat kedua-dua pemain, namun Sinner yang hanya kehilangan tiga mata daripada servis berjaya menguasai tie-break selepas Atmane melakukan double fault pada mata pertama.
Memasuki set kedua, Sinner membuka permainan dengan permainan servis selama sembilan minit sebelum memecah servis lawan untuk mendahului 3-1, sekali gus memberi kelebihan yang diperlukan.
Beliau kemudian mengekalkan momentum untuk mendahului 4-1, hampir menutup peluang Atmane untuk bangkit.
Atmane, yang mencipta kejutan menewaskan Taylor Fritz dan Holger Rune pada kempen ATP Masters 1000 sulungnya, terpaksa akur apabila melakukan kesilapan pukulan forehand pada mata penentuan ketiga.
Juara bertahan Terbuka Amerika Syarikat, Terbuka Australia dan Wimbledon itu kini bakal berdepan sama ada pilihan kedua, Carlos Alcaraz, atau Alexander Zverev pada aksi akhir Isnin ini. -REUTERS