fb fb fb fb fb

Messi wira Inter Miami atasi LA Galaxy 3-1

Lionel Messi masuk sebagai pemain gantian pada awal babak kedua untuk menjaringkan gol kedua pasukan dan memberi bantuan jaringan untuk gol ketiga Inter Miami.

FLORIDA, 17 Ogos - Bintang Inter Miami, Lionel Messi menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan untuk membantu pasukan menewaskan Los Angeles Galaxy 3-1 dalam saingan Major League Soccer (MLS).

Saingan di Stadium Chase, Fort Lauderdale menyaksikan pemain pertahanan, Jordi Alba membuka jaringan buat Miami pada minit ke-43 hasil umpanan Sergio Busquets.

Tersentak dengan jaringan itu, Galaxy kembali meningkatkan rentak permainan dan berhasil menyamakan kedudukan menerusi Joseph Paintsil pada minit ke-59.

Messi, yang terlepas tiga perlawanan sebelum ini akibat kecederaan paha, masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua dan mencipta impak positif.

Bermula dengan jaringan kedua pasukan pada minit ke-84 sebelum melorongkan bola kepada Luis Suarez lima minit kemudian untuk gol ketiga.

Kemenangan ini menamatkan kemarau kemenangan liga Miami sejak 19 Julai.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD