fb fb fb fb fb

Serie A: Parma kejutkan AC Milan

Foto REUTERS

PARMA, 25 Ogos-Pendatang baharu Serie A, Parma melakukan kejutan apabila berjaya menewaskan AC Milan 2-1, sekali gus membuatkan pengurus baharu AC Milan, Paulo Fonseca terpaksa menanti kemenangan pertama pasukan berkenaan.

Pada perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Enino Tardini itu, tuan rumah Parma terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Dennis Man yang merembat kencang ke gawang AC Milan ketika perlawanan baru memasuki 83 saat untuk membolehkan tuan rumah mendahului 1-0.

Kedudukan berkenaan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, AC Milan mula melancarkan gerakan-gerakan berbahaya ke pintu gol Parma bagi memburu gol penyamaan.Tindakan tersebut membuahkan hasil apabila pasukan pelawat itu menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi Christian Pulisic yang menyudahkan hantaran Rafael Leao.

AC Milan berusaha untuk menambah jaringan, namun kekentalan pertahan serta ketangkasan penjaga gol Parma, Zion Suzuki menafikan hasrat tersebut.

Sebaliknya, Parma berjaya mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-78 menerusi Matteo Cancellieri untuk membolehkan Parma mencatatkan kemenangan pertama di gelanggang sendiri musim ini.

Kemenangan itu juga membolehkan Parma mengungguli takhta liga dengan empat mata, manakala AC Milan di kedudukan ke-16 dengan satu mata.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD