IPOH, 3 November - Perak FA berpesta gol di laman sendiri selepas membenam cabaran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 5-1 dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.
Ketua pasukan Perak FA, Kamal Arif Azrai membuka tirai jaringan pasukan tuan rumah apabila memanfaatkan situasi kekalutan di depan gawang KDA FC pada minit ke-22.
Ahmad Daniel Hakimi kemudian menjaringkan gol kedua Perak FA menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti pada minit ke-34.
Berselang dua minit kemudian, Alif Zikri menambah derita pelawat dengan gol ketiga selepas menyudahkan bola hantaran Ekene Victor.
Giliran tonggak import itu menjaringkan gol keempat Perak FA menerusi tandukan pada minit ke-45.Bersambung babak kedua, KDA FC bermula garang selepas berjaya menghasilkan gol menerusi tandukan Iqmal Hazim pada minit ke-47.
Jaringan itu bagaimanapun gagal menyemarakkan api kebangkitan KDA FC, sebaliknya pasukan tuan rumah menambah gol kelima, sekali lagi hasil jaringan Ekene Victor pada masa kecederaan.
Kemenangan itu menyaksikan Perak FA kekal berada di tangga kedua liga dibezakan hanya tiga mata dengan pendahulu Selangor FC II. Manakala KDA FC di kedudukan kedua tercorot.