fb fb fb fb fb

Olahragawan dan olahragawati SUKMA 2024, bercita-cita ke Olimpik LA2028

Foto BERNAMA

KUCHING, 25 Ogos- Olahragawan dan olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 memasang impian untuk beraksi pada temasya Olimpik Los Angeles 2028 di Amerika Syarikat.

Wakil Selangor, Goh Zheng Yin dinobat sebagai olahragawan, berjaya mengumpul lima pingat emas daripada tujuh acara yang disertainya, selain memecahkan dua rekod kebangsaan dan dua rekod SUKMA.

"Saya akan tunjukkan kepada mereka semua, kenapa saya terpilih sebagai olahragawan. Saya tidak akan berhenti berusaha dan tidak akan berakhir di sini."

"Saya akan terus capai cita-cita saya untuk beraksi pada sukan SEA, mungkin juga Olimpik nanti," kata Goh kepada pemberita pada Sabtu, selepas Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini.

Sementara itu, atlet dari Negeri Sembilan, Gan Chen Jie dianugerahkan sebagai olahragawati apabila berjaya meraih tujuh pingat emas dalam kesemua tujuh acara yang disertai beliau dan memecahkan dua rekod SUKMA 2022.

"Ia adalah satu perjalanan yang sukar. Untuk peringkat ini, saya sudah berusaha lebih satu tahun setengah."

"Saya berdepan kecederaan tetapi saya ada jurulatih yang membantu saya termasuk kita buat analisis kecederaan dan rehabilitasi untuk membenarkan saya beraksi dalam tempoh yang lama. Akhirnya, kami berjaya atasi perkara ini," kata Gan kepada pemberita.

Terdahulu, Sarawak meraih 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa dengan mengumpul 201 pingat secara keseluruhan dalam kejohanan tersebut.

Kejayaan itu juga menyaksikan Sarawak menamatkan penantian 30 tahun untuk bergelar juara keseluruhan SUKMA selepas kali terakhir melakukannya pada 1994 di Perak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM