NAPLES, 19 Januari – Romelu Lukaku menjaringkan gol kemenangan untuk memastikan Napoli kekal mendahului Serie A dengan kelebihan enam mata selepas menang 3-2 ke atas pencabar kejuaraan Atalanta dalam perlawanan yang mendebarkan.
Penyerang Belgium, Lukaku, menanduk masuk gol kelapan bersama Napoli hasil hantaran sempurna Andre-Frank Zambo Anguissa pada minit ke-78, memberikan kemenangan penting kepada pasukan bimbingan Antonio Conte di Bergamo.
Matteo Politano dan Scott McTominay turut menyumbang jaringan buat Napoli, yang kini mengumpul 50 mata daripada 21 perlawanan.
Napoli terus mengukuhkan kedudukan sebagai pasukan pilihan dalam perebutan gelaran dengan memanfaatkan sepenuhnya tiga percubaan tepat dalam perlawanan ini.
“Saya tak pasti sama ada ini gol paling penting saya untuk Napoli, tetapi kemenangan ini sangat penting. Kami menunjukkan bahawa kami adalah pasukan yang hebat,” kata Lukaku kepada Sky.
Napoli kini memburu gelaran Serie A kedua mereka dalam tiga musim dan menanti keputusan juara bertahan Inter Milan, yang akan menentang Empoli pada Ahad dengan kelebihan satu perlawanan di tangan.
Kemenangan keenam berturut-turut itu memberi motivasi tambahan kepada Napoli untuk perlawanan besar menentang Juventus, bekas pasukan Conte, minggu depan di sini.
“Ini satu lagi ujian untuk kami, untuk melihat sejauh mana kami boleh pergi,” tambah Lukaku.
“Selepas kemenangan seperti malam ini (Sabtu), mudah untuk leka. Kami tidak seharusnya leka. Kami perlu terus bermain seperti yang kami lakukan," katanya.
Sementara itu, kekalahan kepada Napoli menjadi tamparan kepada Atalanta untuk merebut gelaran pertama mereka, dengan pasukan Gian Piero Gasperini kini ketinggalan tujuh mata di tempat ketiga selepas gagal menang dalam empat perlawanan berturut-turut.
“Kekalahan ini sukar diterima kerana cara kami bermain,” kata Gasperini. “Kami bermain dengan kualiti tinggi menentang pasukan yang jelas hebat.
Dari sini, kami hanya boleh menjadi lebih kuat," jelasnya.
Dalam perkrmbangan lain, Juventus melonjak ke kedudukan Liga Juara Eropah selepas menang 2-0 ke atas AC Milan di Turin hasil jaringan Samuel Mbangula dan Timothy Weah.
Juventus, yang tidak pernah tewas musim ini, menamatkan rentetan tiga keputusan seri berturut-turut untuk mencatat kemenangan kelapan mereka dalam 21 perlawanan.
“Mereka bekerja keras setiap hari, dan kemenangan ini adalah ganjaran mereka,” kata pengurus Juventus, Thiago Motta.
AC Milan kini di tangga kelapan, enam mata dari empat teratas, dengan satu perlawanan di tangan menentang Bologna yang belum dijadualkan semula selepas ditangguhkan akibat banjir pada Oktober.
Bologna pula meneruskan kebangkitan mereka dengan kemenangan 3-1 ke atas Monza, naik ke tangga keenam dengan 33 mata, empat mata di belakang Juventus.-REUTERS.