LONDON, 19 Januari-Bekas penyerang Manchester United dan Scotland, Denis Law, meninggal dunia pada usia 84 tahun, menurut kenyataan rasmi kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Jumaat.
"Dengan hati yang berat, kami ingin memaklumkan bahawa ayah kami, Denis Law, telah pergi buat selama-lamanya.
"Beliau bertarung dengan gagah, tetapi akhirnya kini dia beristirahat dengan tenang," kata kenyataan keluarga yang dikongsi oleh Manchester United.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang kepada kesejahteraan dan penjagaan beliau, dahulu dan lebih-lebih lagi kebelakangan ini.
"Kami tahu betapa ramai yang menyokong dan menyayanginya. Sokongan dan kasih sayang itu amat dihargai dan benar-benar membuat perbezaan. Terima kasih", menurut kenyataan itu lagi.
Law memulakan karier bola sepaknya bersama Huddersfield Town sebelum mencipta nama di Manchester United, menyaksikannya beraksi selama 11 tahun. Beliau membantu kelab itu memenangi kejuaraan liga pada tahun 1965 dan 1967, serta Piala Eropah pada tahun 1968.
Sepanjang kariernya bersama United, Law menjaringkan 237 gol dalam 404 penampilan, menjadikannya penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah kelab, di belakang Wayne Rooney (253) dan Bobby Charlton (249).
Dikenali sebagai "The King," Law menjadi satu-satunya pemain Scotland yang pernah memenangi Ballon d'Or dan Anugerah Pemain Terbaik Eropah, yang dimenanginya pada tahun 1964.
"Semua di Manchester United sedang berkabung atas kehilangan Denis Law, Raja Stretford End, yang telah meninggal dunia pada usia 84 tahun," kata kelab itu dalam satu kenyataan.
"Beliau akan sentiasa dikenang sebagai salah seorang pemain terhebat dan paling dikasihi kelab ini.
"Seorang penjaring gol sejati, kehebatannya, semangatnya, dan kecintaannya terhadap permainan menjadikannya idola kepada generasi," tambah kenyataan tersebut.
"Kami mengucapkan takziah yang paling mendalam kepada keluarga Denis dan ramai rakan-rakannya. Memori tentangnya akan kekal selama-lamanya."
Selain bermain untuk Manchester United, Law juga pernah bermain untuk Manchester City dan Torino. Di peringkat antarabangsa, beliau kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Scotland dengan 30 gol dalam 55 penampilan, selepas membuat penampilan pada tahun 1958 ketika berusia 18 tahun.
"Seluruh Manchester, termasuk semua di Manchester City, turut berkabung bersama anda," kata kenyataan rasmi Manchester City di akaun X pasukan itu.
"Berehatlah dengan tenang, Denis. Doa kami bersama keluarga dan rakan-rakan Denis dalam masa sukar ini", maklum kenyataan itu.-REUTERS.