Milan, 6 Oktober – Rasmus Hojlund sekali lagi menjadi wira Napoli apabila menjaringkan gol kemenangan dalam aksi Serie A menewaskan Genoa 2-1 pada Ahad, sekali gus melonjakkan juara bertahan itu ke tangga teratas liga.
Penyerang Denmark berusia 22 tahun itu menyambar peluang pada minit ke-75 selepas rembatan kencang Andre-Frank Anguissa ditepis penjaga gol Genoa, Nicola Leali.
Ia merupakan gol keempat Hojlund bersama Napoli sejak berhijrah dari Manchester United, hanya beberapa hari selepas meledak dua gol ketika menentang Sporting Lisbon di pentas Liga Juara-Juara.
"Saya dan pasukan hanya perlu fokus untuk memenangi sebanyak mungkin perlawanan. Paling penting ialah terus bekerja keras, pulih dengan baik dan bersedia untuk aksi seterusnya," kata Hojlund kepada DAZN.
Ketua jurulatih, Antonio Conte hampir mengeluarkan Hojlund lebih awal kerana bimbang kepenatan, namun penyerang itu meyakinkan jurulatih bahawa dia masih bertenaga untuk beraksi.
Napoli bagaimanapun ketinggalan terlebih dahulu menerusi jaringan remaja Jeff Ekhator sebelum Anguissa menyamakan kedudukan pada minit ke-57.
Dengan 15 mata daripada enam perlawanan, Napoli kini mendahului Roma yang turut mengutip mata maksimum selepas menundukkan Fiorentina 2-1 di Florence, hanya dipisahkan melalui perbezaan jaringan.
Roma bangkit selepas Moise Kean meledak gol awal buat Fiorentina, dengan Matias Soule dan Bryan Cristante memastikan tiga mata penting pelawat.
Napoli akan kekal di puncak sekiranya AC Milan gagal menewaskan Juventus dalam perlawanan tumpuan di Turin pada Ahad malam, pertembungan yang dianggap ujian besar buat skuad kendalian Massimiliano Allegri. -AFP