LONDON, 6 Oktober – Erling Haaland meneruskan sentuhan berbisa musim ini apabila menjaringkan gol tunggal yang memastikan kemenangan 1-0 Manchester City ke atas Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad.
Haaland meledak seawal babak pertama untuk menghadiahkan City kemenangan ketiga dalam empat perlawanan liga terakhir.
Penyerang berusia 25 tahun itu kini mengumpul 12 gol dalam sembilan penampilan semua kejohanan musim ini, selain enam gol bersama skuad kebangsaan Norway.
Tottenham menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menghalang Haaland daripada menjaringkan gol setakat ini.
Dengan ketajamannya di depan gawang, City berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan terakhir semua kejohanan sejak tewas kepada Brighton pada Ogos lalu.
Mereka kini menghuni tangga kelima liga, tiga mata di belakang pendahulu Arsenal.
Namun, pengurus Pep Guardiola bimbang selepas tonggak tengah, Rodri, terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama akibat kecederaan hamstring. Pemain Sepanyol itu masih bergelut dengan tahap kecergasan sejak kembali daripada pembedahan ligamen lutut pada musim panas lalu.
Kemenangan ini juga melakar sejarah peribadi buat Guardiola yang merekodkan kemenangan ke-250 dalam Liga Perdana Inggeris. -AFP
