SEVILLE, 6 Oktober – Juara bertahan, Barcelona tumbang dalam kejutan terbesar La Liga apabila dibelasah 4-1 oleh Sevilla pada Ahad, dengan Alexis Sanchez meledak gol menentang bekas kelabnya dan Robert Lewandowski gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Kekalahan pertama musim ini menyaksikan Barcelona jatuh ke tangga kedua, dua mata di belakang musuh tradisi Real Madrid yang menewaskan Villarreal pada Sabtu. Sevilla pula melonjak sementara ke kedudukan keempat.
Pemain veteran Chile itu membuka tirai jaringan menerusi penalti seawal babak pertama, sebelum Isaac Romero menambah gol kedua selepas melepaskan dua peluang keemasan.
Marcus Rashford sempat merapatkan jurang menjelang rehat, namun peluang terbaik Barca untuk menyamakan kedudukan dilepaskan apabila Lewandowski tersasar dari titik penalti.
Jose Carmona dan Akor Adams melengkapkan kemenangan bergaya Sevilla pada penghujung perlawanan, sekali gus menyerlahkan kelonggaran pasukan kendalian Hansi Flick.
Barcelona, yang baru sahaja dikecewakan PSG dalam Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu, kelihatan longlai dan gagal menyaingi intensiti pasukan tuan rumah.
Araujo menghadiahkan penalti kepada Sevilla selepas mengasari Romero dalam kotak penalti, sekali gus membuka laluan kepada Sanchez menewaskan Wojciech Szczesny.
Romero yang terlebih dahulu melepaskan dua peluang, tidak mensia-siakan percubaan ketiga dengan rembatan kemas hasil umpanan Ruben Vargas.
Rashford menjadi watak kebangkitan Barca dengan gol sulungnya di La Liga hasil hantaran Pedri Gonzalez, tetapi usaha itu tidak cukup untuk menyelamatkan maruah pasukan.
Flick cuba mengubah rentak dengan memasukkan Eric Garcia dan Alejandro Balde selepas rehat, namun Sevilla terus mendominasi hingga wisel penamat. -AFP
