NAPLES, 31 Ogos – Andre-Frank Anguissa menjadi wira Napoli apabila jaringan pada masa kecederaan membantu juara bertahan Serie A itu menewaskan Cagliari 1-0 di Stadio Diego Armando Maradona pada Sabtu.
Pemain tengah Cameroon itu meledak gol kemenangan pada minit ke-95, ketika skuad kendalian Antonio Conte hampir berputih mata selepas gagal memecah kebuntuan sepanjang perlawanan.
Scott McTominay berpeluang mengubah keputusan sejurus sebelum jaringan Anguissa, namun percubaannya tidak menemui sasaran.
Peluang terbaik Napoli hadir pada minit ke-57 apabila rembatan rendah Leonardo Spinazzola diselamatkan kemas penjaga gol Cagliari, Elia Caprile.
Sementara itu, Roma meneruskan rentak positif di bawah kendalian Gian Piero Gasperini dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pisa di Arena Garibaldi.
Gol Matias Soule menjadi pemisah pada minit ke-54 selepas menyempurnakan umpanan Evan Ferguson, sekali gus membolehkan Roma mengutip enam, Namun dipisahkan oleh perbezaan gol.
Soule hampir menjaringkan gol kedua namun jaringan itu dibatalkan kerana terkena tangannya sebelum melepaskan rembatan ke gawang Pisa.
Pada perlawanan lain, Bologna mencatat kemenangan pertama musim ini selepas menundukkan Como 1-0 hasil jaringan Riccardo Orsolini pada minit ke-59.
Orsolini, yang baru dipanggil ke skuad Itali oleh jurulatih baharu Gennaro Gattuso, menyambut hantaran lintang Santiago Castro untuk memastikan tiga mata berharga buat pasukan.
Sementara itu, Atalanta masih memburu kemenangan pertama di bawah kendalian Ivan Juric selepas seri 1-1 menentang Parma.
Mario Pasalic meraikan penampilan ke-300 bersama Atalanta dengan jaringan pada minit ke-79, namun Patrick Cutrone memastikan Parma pulang dengan satu mata selepas menyamakan kedudukan enam minit kemudian. - AFP