fb fb fb fb fb

La Liga: Madrid cemerlang, Atletico bergelut

Foto REUTERS

MADRID, 31 Ogos - Real Madrid meneruskan rentak sempurna mereka dalam kempen La Liga musim ini selepas bangkit menewaskan Real Mallorca 2-1 di Santiago Bernabeu, awal pagi Sabtu, untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut.

Pada perlawanan berkenaan, skuad 'Los Blancos' dikejutkan oleh jaringan awal Mallorca pada minit ke-18 hasil tandukan Vedat Muriqi berpunca daripada sepakan sudut.

Namun skuad bimbingan Xabi Alonso itu kemudiannya menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh dua minit menerusi Arda Guler dan Vinicius Junior masing-masing pada minit ke-37 dan 38.

Dengan kemenangan itu, Madrid terus mendahului carta liga dengan sembilan mata, diikuti rapat Barcelona yang bakal menentang Rayo Vallecano pada Ahad.

Villarreal dan Athletic Bilbao juga berpeluang menyamai rekod Madrid jika menang dalam aksi masing-masing.

Sementara itu, nasib malang terus menghantui Atletico Madrid apabila gagal mencatat kemenangan buat kali ketiga berturut selepas diikat Alaves 1-1 di Stadium Mendizorroza.

Jurulatih Diego Simeone mengakui pasukannya masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri selepas rombakan besar pada skuad musim panas ini.

“Kami perlu terus bekerja dan percaya kepada pasukan. Prestasi lebih penting, mata akan datang apabila kami mula menunjukkan peningkatan,” kata Simeone kepada Movistar.

Penjaga gol Jan Oblak pula meluahkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut.

“Kami perlu lakukan lebih baik. Kami kecewa dengan keputusan ini kerana kami perlukan lebih banyak mata, dan ini adalah kesalahan kami sendiri,” katanya. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD