fb fb fb fb fb

MIJO 2025: Ajalawich rampas takhta, Ammer Aiman kekal beri saingan

Ajalawich Anantasethak (kiri) dan Ammer Aiman Mohd Fauzi / Foto FB Golf Remaja Malaysia

JOHOR BAHRU, 31 Ogos – Saingan Malaysia International Junior Open (MIJO) 2025 semakin mendebarkan apabila pemain Thailand, Ajalawich Anantasethak merampas kedudukan teratas selepas dua hari kejohanan dengan catatan tiga di bawah par (-3).

Wakil negara, Ammer Aiman Mohd Fauzi, terus menghidupkan peluang Malaysia untuk memburu kejuaraan apabila mengekori rapat di tangga kedua dengan catatan dua di bawah par (-2).

Turut mengekalkan prestasi cemerlang, dua lagi bintang muda Malaysia, M. Afham Bin Ot dan Maverick Chua, masing-masing mencatatkan par (E), sekali gus menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik bersama wakil Korea Selatan, Kang Geon.

Dalam kategori wanita, pemain Thailand mengekalkan dominasi di tangga teratas dengan catatan tujuh di bawah par (-7).

Namun, tumpuan tempatan menjadi milik Ngo Yi Belle dari NJDP Malaysia, yang menyerlah pada hari kedua dengan catatan empat di bawah par (-4), sekali gus meningkatkan peluangnya menamatkan kejohanan di podium utama.

Pengerusi NJDP MGA, Mohd Fauzi Mesran, menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian pemain muda negara yang bersaing sengit dengan peserta antarabangsa.

“Hari kedua MIJO 2025 menyaksikan persaingan semakin sengit, dan saya amat berbangga melihat pemain-pemain NJDP Malaysia masih berada dalam kelompok teratas. Ini membuktikan bahawa bakat dan kerja keras mereka setanding dengan pemain antarabangsa.

"Saya berharap pada hari terakhir, anak-anak Malaysia dapat memberikan aksi terbaik untuk membawa pulang keputusan cemerlang dan mengharumkan nama negara,” katanya menerusi kenyataan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN