fb fb fb fb fb

Sergio Ramos kecewa, tidak terpilih ke Piala Dunia

FOTO AFP

LONDON, 15 November- Bintang bola sepak Sepanyol, Sergio Ramos meluahkan rasa kecewa selepas sah tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan bagi misi Piala Dunia Qatar 2022.

Ramos yakin dirinya sudah kembali cergas selepas diulit kecederaan betis yang menyebabkan beliau kurang minit permainan bersama kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) FC.

Pengurus Sepanyol, Luis Enrique mengumumkan senarai 26 pemain skuad itu bagi kejohanan di Qatar dan mengambil keputusan tidak menyenaraikan pemain berpengalaman seperti Ramos, Thiago Alcantara, Marcos Alonso dan penjaga gol, David de Gea.

Ramos, 36, yang menyertai PSG tahun lalu selepas meraih 16 trofi di Real Madrid menulis kenyataan penuh emosi kepada peminat selepas gagal tampil dalam Piala Dunia kelimanya.

"Saya mengorbankan diri sendiri, jiwa dan raga, untuk pulih dan mendapatkan perasaan seperti yang sentiasa ada pada saya. Malangnya, saya boleh katakan bahawa musim ini saya rasa seperti diri saya semula dan kembali gembira bermain bola sepak," kata Ramos menerusi Instagram.

"Piala Dunia? Sudah pasti, ia adalah satu daripada impian besar yang mahu saya realisasikan. Ia boleh menjadi yang kelima buat saya tetapi malangnya saya hanya mampu menyaksikannya di rumah," tambah Ramos.


(Pemain pertahanan PSG, Sergio Ramos/REUTERS)

Ramos pernah menjulang trofi berprestij dunia itu bersama skuad Sepanyol 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan menewaskan Belanda, 1-0.

"Ia sukar, tapi matahari akan sentiasa muncul di pagi hari. Saya tidak akan mengubah apa-apa dalam diri saya. Bukan mentaliti saya. Bukan keghairahan saya. Bukan komitmen saya, usaha dan dedikasi," tulis Ramos lagi.- REUTERS

Media Baharu